Kelantan jadi negeri maju jika ada pelabuhan laut dalam, kata Wan Fayhsal

Kelantan jadi negeri maju jika ada pelabuhan laut dalam, kata Wan Fayhsal

Ahli Parlimen Machang berkata Tumpat berpotensi dibangunkan sebuah pelabuhan laut dalam kerana jaraknya lebih dekat dengan Vietnam dan Bangkok berbanding Singapura.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata lesen pelabuhan laut dalam perlu diberikan untuk menjana KDNK Kelantan melalui gerbang timur ekonomi Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan digesa memberikan lesen pelabuhan laut dalam kepada Kelantan untuk membantu negeri itu membangun seperti negeri maju lain, kata Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen PN berkata, lesen itu perlu diberikan untuk menjana keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Kelantan melalui gerbang timur ekonomi Malaysia jika Putrajaya enggan menyerahkan royalti minyak.

“Daerah Tumpat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebuah pelabuhan laut dalam kerana jaraknya lebih dekat dengan Indochina, Vietnam dan Bangkok berbanding Singapura.

“Apakah salahnya kerajaan diberikan peluang membangunkan sebuah pelabuhan laut dalam yang mampu menampung pembangunan di Pantai Timur Semenanjung,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023.

Katanya, Putrajaya tidak seharusnya mengetepikan negeri pembangkang dari segi peruntukan berbanding sejumlah besar yang diberi kepada Sabah dan Sarawak dalam pengumuman Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu.

“Kalau lihat Sabah, Sarawak diberi layanan cukup baik, tapi apa beza kami, kami juga sumbang kepada percukaian negara. Kalau kita ada amalan berat sebelah tidak akan membantu pembangunan negara keseluruhannya,” katanya.

Minggu lalu, Anwar mengumumkan Sabah menerima peruntukan berjumlah RM6.5 bilion dalam Belanjawan 2023 berbanding RM5.16 bilion pada 2022, manakala Sarawak menerima peruntukan RM5.6 bilion pada 2023 berbanding RM4.67 bilion pada 2022.

Turut difokuskan adalah projek jalan utama Sabah dan Sarawak, jalan di sempadan dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan Nusantara akan menjadi bandar baharu Kalimantan.

Wan Fayhsal berkata, dengan adanya pelabuhan laut dalam di Kelantan, Projek Lebuhraya Central Spine Road dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) negeri itu juga mampu membangun seperti negeri lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.