Dr M diangkat ahli nombor 1 Putra

Dr M diangkat ahli nombor 1 Putra

Nombor satu biasa dipegang oleh orang nombor satu parti, kata Timbalan Presiden Putra, Mohd Khalid Yunus.

Ibrahim Ali sedia menyerahkan jawatan presiden Putra kepada Dr Mahathir Mohamad, kata timbalan presiden parti itu, Mohd Khalid Yunus.
PUTRAJAYA:
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengangkat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi ahli nombor satu, angka yang sebelum ini dipegang Presiden Ibrahim Ali.

“Nombor ini biasa dipegang oleh orang nombor satu,” kata Timbalan Presiden Mohd Khalid Yunus, pada sidang media mengumumkan penyertaan Mahathir ke dalam Putra, di Yayasan Kepimpinan Perdana petang tadi.

Menurut Khalid, Ibrahim sendiri sedia menyerahkan jawatan presiden kepada Mahathir.

Katanya lagi, ahli Putra meyakini keputusan kepimpinan parti dan akan menyokong perancangan Mahathir “bagi mencapai matlamat bersama kita”.

“Saya minta ketepikan apa jua bentuk kepentingan peribadi peribadi untuk capai hasrat cita-cita tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, dengan penyertaan Mahathir hari ini, Khalid memaklumkan pimpinan parti sedia mempercepatkan persidangan perwakilan Putra bagi menetapkan barisan pemimpin baharu, sekiranya perlu.

“Kita dah sedia buat barisan pimpinan Putra 8 April,” katanya, mengenai sidang yang ditetapkan berlangsung pada 7 Mei.

Kerja untuk bangsa sebelum mati

Sementara itu, Mahathir pada sidang media tadi meneruskan retoriknya mengenai kedudukan orang Melayu, yang katanya kini “lebih banyak masalah” kerana tidak menguasai politik dan ekonomi.

“Orang Melayu tak harus jadi kumpulan yang termiskin. Kalau kita orang Melayu masih berpecah, lemah tak dapat kuasa politik. Tak kuasai politik, masa depan Melayu akan gelap,” katanya.

“Sebelum saya mati saya akan kerja untuk bangsa saya.”

Beliau sempat menarik perhatian kepada nasib Umno, yang suatu masa dahulu berjuang untuk orang Melayu dan sekarang menjadi “parti kecil”.

“Tak boleh berjuang, sebab kena ambil kira pendapat yang lain.”

Mahathir juga turut menerima watikah pelantikan sebagai penasihat parti berkuatkuasa serta merta.

Sementara itu, berkenaan persediaan menempuh PRN di enam negeri tidak lama lagi, Mahathir berkata Putra akan mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

Katanya, sama ada beliau akan bertanding atau tidak pada PRN ia akan diputuskan selepas mesyuarat parti.

“Itu akan kita bincang selepas saya ada perjumpaan dengan ahli-ahli pemimpin Putra,” katanya.

Mahathir turut mengalu-alukan Pejuang untuk bersama-sama dengan perjuangan Putra berbanding menagih kerusi daripada Pakatan Harapan (PH)

“Kita tak tertutup kepada Pejuang kalau Pejuang nak bersama dengan kita, bukanlah jadi ahli tetapi sama-sama berjuang untuk orang Melayu,” katanya.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dilaporkan mengadakan pertemuan dengan parti komponen PH dan Perikatan Nasional bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.