
Selain Mohamad, turut mengekalkan jawatan masing-masing di Negeri Sembilan termasuk Ketua Umno Bahagian Jelebu, Jalaluddin Alias, Ketua Umno Bahagian Tampin, Mohd Isam Isa dan Timbalannya, Abd Razak Ab Said, menurut New Straits Times.
Selain kekal sebagai ketua Umno Rembau, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat juga kekal sebagai orang nombor dua parti, selepas Umno bersetuju tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.
Bagaimanapun, masih terdapat pertandingan untuk jawatan lain.
Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Mustafa Salim berkata, Ismail Lasim akan menentang naib ketuanya di Kuala Pilah, Khairolnezam Shaari bagi jawatan ketua bahagian.
“Persaingan untuk jawatan pengerusi Umno Bahagian Port Dickson akan menyaksikan pertandingan antara ketua bahagian Faizal Ramli dan Adun Bagan Pinang Tun Hairuddin Tun Abu Bakar.”
Mustafa berkata, akan berlaku pertembungan tiga penjuru bagi jawatan ketua Umno Rasah, dengan penyandangnya Hasim Rusdi akan menentang Helmi Din dan Hamizam Abd Razak.
Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan, Mustafa Nagor pula akan merebut jawatan ketua Umno Seremban bersama naib ketua bahagian itu, Mazalan Ma’arof.
Sementara itu, Najib Isa yang merupakan anak sulung bekas menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad, mengintai 25 kekosongan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.
Pemilihan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan 11 Mac ini, manakala Umno bahagian dan MKT pada 18 Mac nanti.