
Ahli Parlimen Bera itu berkata, tindakan itu juga dibuat selaras perlembagaan dan idealisme Umno.
“Saya bukan merajuk, tetapi saya konsisten dengan pendirian saya yang tidak bersetuju dua jawatan tertinggi Umno, iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
“Bila saya bertanding naib presiden, ia memberi makna saya bersetuju dan mengiktiraf dua jawatan tertinggi Umno tersebut tidak dipertandingkan.
“Jadi. saya perlu konsisten dengan pendirian dan saya tidak bertanding jawatan naib presiden,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) patut menggunakan kuasanya untuk menangguhkan pemilihan Umno, seperti diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan, kerana belum ada keputusan dibuat berhubung usul tambahan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
“Sekarang ROS (JPPM) belum buat keputusan, sepatutnya keputusan dibuat sebelum tarikh tutup (pemilihan Umno), sebab apa kata tiba-tiba ROS buat keputusan tindakan Perhimpunan Agung Umno itu bertentangan perlembagaan, oleh itu semua jawatan mesti dipertandingkan.
“Kalau ini berlaku, sudah jadi akademik, jadi ROS sepatutnya menangguhkan. Bagi saya, ROS perlu menangguhkan pertandingan dalam Umno, sebab kalau tidak tiba-tiba dia kata boleh bertanding, ada yang bertanding jawatan naib presiden mungkin hendak bertanding presiden atau timbalan presiden.
“Jadi, dia sudah hantar nama untuk naib presiden. Jadi, saya percaya kalau ROS hendak buat keputusan, oleh kerana sekarang belum ada keputusan, ROS patut menangguhkan pemilihan sehingga ia membuat keputusan.”
Mengenai hubungannya dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Ismail berkata, beliau tiada sebarang masalah kerana memang rapat dengan Zahid, termasuk ahli keluarga presiden Umno itu.
“Tapi politik, perbezaan pandangan itu saja dan presiden sentiasa mengatakan presiden meraikan perbezaan pandangan dalam Umno, saya dengan dia berbeza sedikit pandangan, tapi dari segi peribadi, tiada isu,” katanya.