
Ahli Parlimen Muar itu memberi contoh inisiatif Undi18, yang menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sebagai contoh pembaharuan.
Perikatan Nasional (PN) memuji Undi18 sebagai antara punca kejayaan luar jangka dalam PRU15 di mana gabungan itu memenangi 74 kerusi Parlimen.
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, kini ramai yang membangkitkan ironi Undi18.
“Ini masalahnya bila orang (melihat) ‘reform’ dari sudut satu parti politik sahaja. ‘Reform’ ini hanya untuk menangkan A, menangkan B atau menangkan C.
“Tak pernah terlintas di minda saya apabila perjuangkan sesuatu ‘reform’ itu hanya untuk menangkan parti, A, B, C. Ia adalah untuk seluruh rakyat Malaysia,” kata Syed Saddiq ketika membahaskan Belanjawan 2023.
Katanya, golongan muda tidak seharusnya berasa kecewa sekiranya dicemuh kerana pilihan politik mereka atau dilabel sebagai tidak berpelajaran dan minda sudah dibasuh.
Katanya, tuduhan seperti itu tidak pernah memberi kesan golongan muda itu apabila membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14.
Pada awal bulan ini, Syed Saddiq berkata, PH dan rakannya dalam kerajaan perpaduan perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka serius mengenai reformasi yang dijanjikan ketika pilihan raya umum lalu.
Syed Saddiq memberi amaran, sekiranya kerajaan mengambil langkah ke belakang dan gagal menunaikan janji, mereka akan hilang sokongan.