Jangan hanya kutip cukai, ambil hasil tapi kawasan PN dibelakangi, Hadi tegur Putrajaya

Jangan hanya kutip cukai, ambil hasil tapi kawasan PN dibelakangi, Hadi tegur Putrajaya

Membelakangi kawasan PN tak mampu ubah keadaan bahawa kebanyakan pengundi Bumiputera luar bandar menyokong gabungan itu, kata Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang Hadi Awang berkata pembangkang berperanan sebagai penasihat supaya pemerintah tidak “syok sendiri”.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan persekutuan digesa memberikan dengan segera peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan negeri pimpinannya, seperti yang dikehendaki prinsip demokrasi dan pemisahan kuasa.

Mensasarkan tegurannya terhadap Pakatan Harapan, Hadi Awang (PN-Marang) berkata tindakan pemerintah membelakangi kawasan Perikatan Nasional tidak mampu mengubah keadaan, bahawa kebanyakan pengundi Bumiputera luar bandar menyokong gabungan itu.

Beliau yang juga presiden PAS menegaskan bahawa pentadbiran kerajaan tidak boleh dicampuri politik atau dendam, sambil mengingatkan PH bahawa ia juga kalah undi penjawat awam.

“Tindakan melengahkan peruntukan di kawasan pembangkang dan kerajaan negeri yang dikuasainya adalah tidak tepat dengan prinsip Islam dan demokrasi,” kata Hadi ketika berbahas di Dewan Rakyat tengah hari tadi.

“Janganlah dalam bab cukai diambil daripada semua, bab hasil bumi pula dikebas daripada semua negeri … tetapi dalam urusan mentadbir dan membahagikan peruntukan, dibeza-bezakan.”

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat PN mengkritik Belanjawan 2023 baharu kerana didakwa tidak menyediakan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.

Shahidan Kassim (PN-Arau) mengingatkan pemerintah bahawa duit rakyat mesti diberi sama rata, manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan sama ada slogan Malaysia Madani benar-benar memperjuangkan keadilan.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menepis kritikan PN, mengingatkan bahawa hanya pentadbiran Ismail Sabri Yaakob memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang, selepas pemerintah dan PH memeterai perjanjian persefahaman untuk memupuk kestabilan.

Hadi berkata corak sokongan ketika ini menunjukkan pengundi Bumiputera luar bandar menyokong PN serta parti Sarawak dan Sabah, manakala PH disokong penduduk bandar dan kawasan campuran.

“Tindakan kerajaan PH yang membelakangi kawasan PN, Sabah, dan Sarawak tidak mampu mengubah keadaan,” katanya.

Tambahnya, ahli politik yang berwibawa dan berintegriti wajib berlaku adil kepada semua pihak, termasuk terhadap musuh dan pengundi atas pagar yang tidak berpendirian.

Hadi juga mengingatkan pembangkang berperanan sebagai penasihat supaya pemerintah tidak “syok sendiri”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.