Fahmi selar kajian ‘tidak jujur’ terhadap kerajaan

Fahmi selar kajian ‘tidak jujur’ terhadap kerajaan

Menteri komunikasi dan digital itu mempersoalkan sama ada kajian itu dibuat untuk memperdayakan rakyat.

Fahmi Fadzil akan mendapat penjelasan daripada beberapa agensi berita yang menjalankan tinjauan pendapat itu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyelar satu tinjauan pendapat bersama oleh beberapa agensi berita yang mendakwa orang Melayu tidak berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menganggap ia fitnah, Fahmi berkata, beliau akan meminta penjelasan agensi berita itu berhubung tinjauan pendapat 100 hari pentadbiran kerajaan.

“Ia (kajian) tidak jujur oleh akhbar arus perdana.

“Adakah ia cubaan untuk mempromosikan sesuatu atau memperdayakan rakyat?” soalnya dalam sidang media di Wangsa Maju.

Tinjauan pendapat itu dilakukan beberapa akhbar dengan agensi berita dan firma kajian 02 Research.

Kajian membabitkan lebih 35,000 responden itu mendapati komuniti bukan Melayu secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi kerajaan, tetapi majoriti responden Melayu pula tidak berpuas hati.

Hanya 15% responden Melayu berpuas hati dengan usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto PRU15, manakala 71% tidak berpuas hati.

Fahmi turut mempersoalkan kaedah digunakan untuk menjalankan tinjauan pendapat itu kerana 81% responden adalah lelaki.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi turut menyelar seorang Ahli Parlimen PAS kerana melabelkan Anwar “bapa saman negara” dan mendakwa perdana menteri itu tidak boleh menerima kritikan.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, kritikan boleh diterima tetapi bukannya fitnah.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen beliau patutnya sedar kesan tindakan membuat fitnah,” katanya yang merujuk kepada Awang Hashim.

Anwar sebelum ini menghantar dua surat tuntutan terhadap Awang selepas ahli PAS itu mendakwa perdana menteri “dilantik secara tidak betul” selepas PRU15.

Awang juga dituntut meminta maaf selepas menuduh perdana menteri “lebih pendendam daripada Dr Mahathir Mohamad”.

Sementara itu, berkenaan keputusan Suruhanjaya Eropah (EC) mengharamkan petugas esekutifnya daripada menggunakan TikTok atas sebab keselamatan, Fahmi berkata, beliau mengarahkan CyberSecurity Malaysia melihat kebimbangan keselamatan oleh EC itu.

CyberSecurity adalah agensi pakar keselamatan siber negara di bawah kementerian Fahmi.

“Bagi saya perkara ini penting kerana membabitkan rahsia kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.