
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Mahathir berkata, Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan 11 hingga 14 Sept ini untuk perbicaraan dan 14 Julai sebagai tarikh akhir bagi pengurusan kes.
“Pihaknya akan mengemukakan dua saksi, iaitu Mahathir dan anaknya, Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu,” kata Mior ketika dihubungi selepas pengurusan kes melalui sidang video.
Prosiding itu turut disertai peguam Mohd Shahril Madisa yang mewakili timbalan perdana menteri itu.
Difahamkan, tiga saksi, termasuk Zahid akan memberi keterangan dalam perbicaraan itu.
Pada 20 Julai tahun lepas, Mahathir, 97, memfailkan saman itu dengan menamakan Zahid, 70, sebagai defendan tunggal.
Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya dalam mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani serta beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses pengguna internet tanpa sebarang sekatan.
Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan 17 Ogos tahun lepas menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 itu berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.