
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah Ariffin Man berkata oleh itu, terdapat 36 individu yang akan bertanding untuk jawatan ketua Umno di 14 Bahagian daripada 15 Bahagian keseluruhannya di negeri ini dengan lima daripada mereka adalah bekas ketua Umno Bahagian yang membuat kemunculan semula.
“Bekas ketua Bahagian yang menawarkan diri bertanding (pada pemilihan kali ini) ialah di (Bahagian) Jerlun, Abdul Rahman Ariffin, Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu), Ahmad Bashah Md Hanipah (Alor Setar), Abdul Rahim Saad (Sungai Petani), dan Abdul Rahman Mahamud (Padang Serai),” katanya pada sidang media.
Ariffin berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Jamil Khir Baharom akan mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Jerai yang menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam pemilihan itu.
Sementara itu, beliau berkata untuk jawatan timbalan ketua Umno Bahagian pula direkodkan seramai 34 calon menawarkan diri untuk merebut jawatan itu di 15 Bahagian manakala 36 calon lagi adalah untuk jawatan naib ketua Umno Bahagian.
“Jawatan ketua Wanita Umno Bahagian hanya 16 calon menawarkan diri bertanding, ketua Pemuda Umno Bahagian (18 calon) dan ketua Puteri Umno Bahagian (15 calon),” katanya.
Beliau berkata jawatan timbalan ketua Bahagian yang menang tanpa bertanding adalah di empat bahagian iaitu melibatkan Bahagian Pokok Sena, Alor Setar, Baling dan Padang Terap manakala bagi jawatan naib ketua Bahagian menang tanpa bertanding membabitkan Pokok Sena dan Alor Setar.
“Jawatan ketua Wanita Umno Bahagian yang menang tanpa bertanding pula berlaku di sembilan Bahagian iaitu Langkawi, Alor Setar, Pendang, Jerai, Sik, Merbok, Sungai Petani, Baling, dan Padang Serai.
“Jawatan ketua Pemuda Umno Bahagian yang menang tanpa bertanding melibatkan enam Bahagian iaitu Padang Terap, Alor Setar, Pendang, Jerai, Baling, dan Padang Serai,” katanya.
Ariffin berkata jawatan ketua Puteri Umno Bahagian yang menang tanpa bertanding pula membabitkan Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Jerai, Sik; Baling dan Padang Serai.
Beliau berkata kira-kira 40% calon muka baharu pada peringkat pucuk pimpinan tertinggi di Bahagian dalam pemilihan kali ini.