
Kerajaan digesa mendedahkan butiran perjanjian dengan Entomo Malaysia itu ketika sesi Parlimen supaya “semua isu berkaitan boleh dibahaskan”.
Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah berkata, syarikat Singapura Entomo Pte Ltd adalah pemegang saham tunggal Entomo Malaysia Sdn Bhd.
“Melihat sebuah syarikat asing sebagai pemegang saham tunggal Entomo Malaysia dan memiliki perisian untuk aplikasi itu adalah sangat mengganggu,” katanya.
Katanya, pemilihan Entomo tidak dilakukan menerusi tender terbuka, dan tiada perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat itu, selain perjanjian yang tidak didedahkan tersebut.

Kerajaan juga “tiada kawalan jelas” berhubung perjanjian perlesenan antara Entomo Malaysia dan MySejahtera Sdn Bhd, memberikan syarikat itu lesen kekal untuk membangunkan dan menyokong aplikasi tersebut hingga 2025.
MySejahtera adalah alat utama Kementerian Kesihatan untuk menguruskan pandemik Covid-19 dan diperlukan untuk masuk ke tempat awam ketika perintah kawalan pergerakan dikendurkan.
Aplikasi itu sebahagian besarnya digunakan untuk menjejaki kontak rapat, kurantin kendiri dan membuat temujanji suntikan vaksin.
Cheah berkata, pemilikan aplikasi MySejahtera, kod sumber, antara muka pengguna, dan semua data peribadi yang dikumpul menerusi sistem itu perlu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan – dan ini perlu diwujudkan sejak mula lagi.
Majlis Peguam gesa wujudkan Akta Peribadi
Majlis Peguam juga menggesa kerajaan mengwujudkan Akta Peribadi untuk melindungi data rakyat Malaysia yang dikutip oleh syarikat atau pihak berkuasa.
Katanya, liabiliti dan tanggungjawab syarikat yang dikaitkan dengan MySejahtera tidak seharusnya ditadbir oleh satu kontrak antara badan korporat dan kerajaan, tetapi juga oleh satu undang-undang peribadi di Malaysia.
“Undang-undang ini adalah untuk melindungi semua data peribadi yang dikutip oleh kerajaan Malaysia atau sebarang entiti mengumpul data peribadi bagi pihak kerajaan,” kata Cheah.
“Ketika ini Malaysia tiada undang-undang peribadi seperti itu,” katanya.
Katanya, data peribadi di Malaysia dikawal oleh Akta Perlindungan Data Peribadi yang tidak meliputi kerajaan persekutuan dan negeri.