Bukan hanya masjid, imam surau pun wajar dapat bantuan khas RM600, kata Guan Eng

Bukan hanya masjid, imam surau pun wajar dapat bantuan khas RM600, kata Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan berharap bantuan tersebut tidak hanya disalurkan kepada masjid tetapi turut merangkumi jawatan sama di surau.

Lim Guan Eng berkata, bantuan khas untuk imam, bilal dan tok siak perlu merangkumi jawatan sama di peringkat surau.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mencadangkan bantuan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak dalam Belanjawan 2023 turut merangkumi jawatan sama di surau.

“Saya melawat surau, berbincang dengan imam, tok siak surau dan lain-lain, jadi saya ingin bertanya sama ada insentif RM600 itu turut diberikan kepada masjid sahaja atau surau juga?

“Saya ingin mencadangkan agar ia juga diberikan kepada surau, supaya ia dapat dikongsi dalam kalangan sukarelawan mereka,” katanya di Dewan Rakyat.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut berkata, kemenangannya dalam pilihan raya umum lalu disebabkan hubungan baiknya dengan umat Islam di kawasannya selain pengundi kawasan terbabit.

“Sebab itu saya menang dalam saluran satu hingga lima, dan hanya kalah di saluran enam dan tujuh,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu, kerajaan memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM600 kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru Kafa dan guru takmir.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan, Anwar Ibrahim memberitahu, bantuan tersebut memberi manfaat kepada seramai 70,000 orang dengan melibatkan peruntukan lebih RM40 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.