
Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, daripada 24 kematian yang dicatatkan pada 2022, 11 daripadanya berlaku di lokap polis manakala 13 lagi semasa tahanan menerima rawatan di hospital atau klinik atau dalam perjalanan ke hospital atau klinik.
Untuk 2021, sebanyak 14 adalah kematian dalam lokap, manakala 32 lagi semasa tahanan dalam perjalanan ke hospital atau klinik atau semasa menerima rawatan di hospital atau klinik, lapor Bernama.
Bagi membendung isu itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, polis sedang menyediakan pindaan menyeluruh terhadap Kaedah-Kaedah Lokap 1953 bagi memastikan pengurusan lokap, tahanan dan hak asasi tahanan ditambah baik selari keperluan serta kehendak semasa.
“(Selain itu) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan tahanan di lokap serta pemeriksaan berkala oleh pihak berwajib untuk memastikan pematuhan arahan atau SOP pengurusan lokap dan tahanan diikuti,” katanya.
Jawapan itu dikemukakan kepada soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu statistik kematian dalam tahanan bagi 2021 dan 2022 serta usaha kerajaan membendung insiden kematian dalam tahanan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, polis juga mengkaji cadangan melekatkan notis peringatan ‘Hospital or Custody’ di setiap kereta polis sebagai peringatan untuk menghantar tahanan yang sakit atau cedera ke hospital bagi mendapatkan rawatan, dengan notis itu telah dipraktikkan oleh Polis United Kingdom.