IPIC, Aabar setuju bayar kerajaan RM8.06 bilion penyelesaian 1MDB

IPIC, Aabar setuju bayar kerajaan RM8.06 bilion penyelesaian 1MDB

International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS bersetuju membayar jumlah itu bagi menyelesaikan pertikaian undang-undang.

IPIC dan Aabar Investments PJS sebelum ini didakwa bersubahat dengan penipuan 1MDB. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
International Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS bersetuju membayar USD1.8 bilion (RM8.06 bilion) kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc) dan 1MDB untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang antara mereka.

“Dengan penyelesaian ini, Malaysia dan Abu Dhabi berharap untuk terus bekerjasama demi kemakmuran dan faedah ekonomi kedua-dua negara pada masa hadapan,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan ringkas.

Menurutnya, penyelesaian itu dicapai dalam prosiding undang-undang di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Kedua-dua pihak sebelum ini terbabit dalam pertikaian undang-undang di Mahkamah Tinggi London dengan dakwaan Ipic dan Aabar bersubahat dengan penipuan 1MDB.

Putrajaya mencabar penyelesaian timbang tara pada 2017 antara dua pihak di United Kingdom, mendakwa Ipic dan Aabar Investments sedar mengenai tuduhan penipuan terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak ketika perjanjian ditandatangani.

Ipic memberi jaminan dua bon untuk 1MDB pada 2012 dalam perjanjian diatur Goldman Sachs Group Inc. yang menjana USD3.5 bilion.

Pada 2019, usaha Putrajaya di mahkamah London untuk mencabar penyelesaian USD5.78 bilion antara 1MDB dan Ipic ditangguhkan oleh Hakim Robin Knowles untuk membenarkan timbang tara lanjut.

Knowles memutuskan beliau membenarkan penangguhan “sementara” dalam “tempoh yang tak ditetapkan” berhubung dakwaan Malaysia bahawa perjanjian penyelesaian itu harus dibatalkan kerana ia “diperoleh secara penipuan”.

Peguam negara ketika itu, Tommy Thomas berkata, Najib secara “asasnya bertanggungjawab” kerana memberi persetujuan kepada award USD5.78 bilion itu dan “mungkin tidak bertindak sebaiknya untuk kepentingan negara dan syarikatnya,”.

Beliau berusaha mendapatkan balik USD1.46 bilion yang sudah dibayar dan melepaskan Malaysia daripada sebarang kewajiban untuk membayar bakinya.

Pada 2021, Putrajaya diberi kebenaran oleh mahkamah di London untuk meneruskan kes melibatkan syarikat Abu Dhabi berkaitan peranannya dalam skandal 1MDB.

Hakim Andrew Baker pada Khamis membenarkan lanjutan masa untuk membolehkan serahan tuntutan itu disempurnakan, seterusnya perbicaraan disifatkan “luar biasa” itu dapat berlangsung.

Kes di London itu adalah satu daripada beberapa siasatan lain melibatkan 1MDB di seluruh dunia termasuk di AS serta Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.