
Projek itu, katanya, yang dijangka menelan kos RM7 bilion akan dibiayai sepenuhnya sektor swasta dan mempunyai dua rakan kongsi utama bertindak sebagai rakan strategik kerajaan negeri dalam pembangunan terbabit.
“Pembiayaan dana yang diperlukan akan diselesaikan dalam masa terdekat ini. Bajet kerajaan persekutuan tidak diperlukan, maka tiada risiko kepada Putrajaya dari segi beban kewangan,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, Kedah Aerotropolis akan berfungsi sebagai hab kargo, termasuk kargo “frozen” dan “trans-shipment center” yang akan membantu mengembangkan pasaran serta peluang kepada pelabur.
Katanya, rancangan Putrajaya menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Subang berbeza dengan Kedah Aerotropolis kerana ini membabitkan pembinaan terminal serta landasan baharu sepenuhnya, serta bangunan lain berkaitan.
Kedah Aerotropolis juga akan berfungsi sebagai kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang beliau percaya mampu melengkapkan PIA secara tidak langsung.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu berkata, Putrajaya bercadang membesar dan meningkatkan keupayaan PIA serta Lapangan Terbang Subang untuk menarik pelaburan.
Langkah itu, katanya, “lebih menjimatkan” berbanding cadangan pembangunan Aerotropolis di Kulim.