Perolehan telus beli 18 pesawat tempur ringan RM4 bilion, kata Adly

Perolehan telus beli 18 pesawat tempur ringan RM4 bilion, kata Adly

Pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries Co (KAI) dijangka menghantar aset ketenteraan itu menjelang 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, berkata perolehan 18 pesawat FA-50 berkenaan merupakan pembelian terbaik bersesuaian aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 bernilai RM4.08 bilion dari Korea Selatan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keperluan negara melibatkan aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, berkata selain itu, aspek kepakaran dalam mengendalikan pesawat berkenaan dan ekonomi semasa negara turut menjadi pertimbangan supaya pembelian aset itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi industri pertahanan negara.

“Banyak faktor diambil kira sebelum kita buat keputusan pembelian sesuatu aset itu. Jadi, apabila kita telah buat keputusan melalui perolehan yang telus itu, paling utama adalah kita dapat ‘delivered’ kepada pengguna akhir.

“Yang paling penting aspek pertahanan negara dapat dijaga, kedaulatannya boleh dipertahankan dan pada masa sama keyakinan aset-aset ini dapat kita miliki dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian Kementerian Pertahanan sebelum keputusan pembelian aset itu dibuat, pesawat tempur ringan FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries Co (KAI) berkenaan adalah yang terbaik.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan KAI yang merupakan pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan memenangi perjanjian pesawat bernilai USD920 juta (RM4.08 bilion) dari Malaysia dan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula, pada 2026.

Memetik kenyataan Agensi berita Yonhap, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mengeksport 18 pesawat tempur ringan FA-50, sekali gus mengetepikan pesawat jenis Tejas India, JF-17 Pakistan, MIG-35 Russia dan Hurizet Turki.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan keluarga khususnya ibu dan bapa kepada anggota tentera darat daripada Grup Gerak Khas (GGK) Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan, sentiasa terpelihara.

“Menteri pertahanan sebelum ini telah mengarahkan bahagian pentadbiran agar melihat semua aspek bantuan diperlukan atau hak yang layak diterima keluarga mangsa dipercepat.

“Mangsa (Edrin) telah berkorban untuk negara dan sudah pasti akan memastikan kebajikan keluarga menjadi keutamaan kita,” katanya.

Pada 7 Feb lalu, Edrin dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan di sini, menerusi latihan eksesais “Pari Harimau”, iaitu kursus juruselam bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak) Sungai Udang.

Mayatnya ditemui orang ramai dalam keadaan terdampar dan lengkap berpakaian sut penyelam di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor, kira-kira 10.15 pagi 19 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.