Penahanan 2 remaja ikut undang-undang, kata polis selepas dikritik

Penahanan 2 remaja ikut undang-undang, kata polis selepas dikritik

Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, semua individu, termasuk pelajar, tertakluk kepada undang-undang.

Walaupun mendapat perintah reman dua hari, dua remaja berusia 18 tahun itu dibebaskan dengan jaminan awal polis pada 11 pagi tadi.
PETALING JAYA:
Polis mempertahankan tindakannya menahan dua remaja yang dipercayai menghina pembuat kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini mengikut undang-undang.

Ia susulan kritikan Lawyers for Liberty (LFL) terhadap tindakan polis menyerbu rumah dua pelajar itu untuk menahan mereka yang turut dikehendaki menjalani ujian dadah.

Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah berkata, semua individu, termasuk pelajar, tertakluk kepada undang-undang.

“Pihak polis memberi jaminan untuk mempercepatkan siasatan kes ini kerana melibatkan pelajar sekolah. Tahanan reman dua hari terhadap dua pelajar ini dibuat berikutan proses merakam keterangan berkaitan kejadian dengan lebih teliti.

“Polis turut menjalankan semakan melibatkan isi kandungan telefon bimbit yang dirampas serta mendapatkan laporan disiplin berkaitan suspek dari pihak sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun mendapat perintah reman dua hari, Suffian berkata, dua remaja berusia 18 tahun itu dibebaskan 11 pagi tadi dengan jaminan awal polis, selepas pihaknya berpuas hati dengan siasatan kes terbabit.

Katanya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam satu video tular, dua pelajar terbabit mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan Sejarah SPM serta menghina Singapura. Mereka kemudiannya memohon maaf dalam video berasingan.

Terdahulu, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan menuntut penjelasan dua menteri berhubung penggunaan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap pelajar sekolah.

Beliau menyifatkan penggunaan akta itu ke atas pelajar sebagai mengekang kebebasan bersuara dan bercanggah janji reformasi Pakatan Harapan, selain melanggar kebebasan menyuarakan pandangan yang dijamin Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.