
Katanya, laporan itu disediakan Jabatan Mineral dan Geosains.
“Laporan itu sudah siap. Jika ada sebarang permohonan (meminta laporan itu), kita boleh keluarkan secara bertulis,” katanya selepas pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Ampang.
Semalam, keluarga mangsa menggesa kerajaan mengeluarkan laporan penuh tragedi itu secepat mungkin.
Loh Teng Shui, yang mewakili keluarga mangsa berkata, mereka masih menunggu jawapan berhubung apa yang sebenarnya berlaku.
“Kami tidak tahu jabatan mana yang harus dirujuk dan pihak berkuasa mana untuk dihubungi (bagi mendapatkan maklumat lanjut),” katanya semalam.
Media sebelum ini melaporkan, laporan awal dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 4 Jan lalu.
Polis pada Disember lalu berkata, siasatan ke atas kejadian itu siap 90%, namun tiada perkembangan dimaklumkan selepas itu.
Kejadian pada awal pagi 16 Dis lalu meragut 31 nyawa, termasuk 13 kanak-kanak. Seramai 61 lagi mangsa berjaya diselamatkan semasa operasi mencari dan menyelamat di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.
Penemuan awal Kementerian Kerja Raya menunjukkan retakan di sepanjang jalan atas cerun bukit dan pengumpulan air bawah tanah di bawah tapak perkhemahan mungkin menyebabkan tanah runtuh.