Kumpulan peguam kecam penahanan remaja hina kertas Sejarah SPM

Kumpulan peguam kecam penahanan remaja hina kertas Sejarah SPM

Lawyers for Liberty mengkritik tindakan polis itu kerana melayan pelajar itu seperti 'penjenayah tegar' menerusi serbuan dan ujian dadah.

Dalam video tular, seorang pelajar dilihat mengucapkan perkataan kurang sopan kerana tidak puas hati dengan soalan peperiksaan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
PETALING JAYA:
Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik penahanan dua remaja bagi membantu siasatan berhubung video tular pelajar sekolah menengah itu kerana tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengarah LFL Zaid Malek, berkata beliau terkejut pendekatan “keras” pihak berkuasa dan menuntut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, menjelaskan penggunaan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap pelajar sekolah.

“Remaja itu ditahan dalam serbuan polis di rumah mereka. Mereka ditangkap dan menjalani ujian dadah. Ini boleh menyebabkan trauma melampau kepada mereka dan keluarga. Dan semua ini berlaku disebabkan video rasa tidak puas hati dengan kertas peperiksaan Sejarah.

“Jika ada pun ulasan tidak patut diucapkan, ia tidak semestinya mengkehendaki campur tangan polis. Sepatutnya, perkara itu diuruskan bersama pihak berkuasa sekolah dan ibu bapa.

Zaid Malek.

“Mereka hanya remaja menunjukkan kerenah kebudak-budakan dan sudah memohon maaf susulan video dibuat, namun mereka dilayan seperti penjenayah tegar,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, akta digunapakai terhadap dua remaja itu disifatkan mengekang kebebasan bersuara dan bercanggah dengan janji reformasi Pakatan Harapan dalam kerajaan. Ia juga melanggar kebebasan menyuarakan pandangan yang dijamin Perlembagaan.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan keterlaluan dan sewenang-wenangnya diambil polis susulan penahanan remaja berkenaan, dan mendesak polis memberhentikan semua tindakannya, dan menyerahkan perkara itu pada pihak berkuasa sekolah.

“Kritikan kepada kerajaan tidak boleh dijenayahkan, lebih-lebih lagi melibatkan sikap kebudak-budakan remaja terbabit.”

Dr Kelvin Yii.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, menggesa semua siasatan berhubung kes itu dihentikan.

“Apa yang lebih penting dalam kes ini kesejahteraan pelajar itu. Tindakan tidak berpadanan boleh menimbulkan stigma tidak sepatutnya, tekanan mental dan ketakutan, bercanggah dengan semangat mendidik anak muda kita.

“Itulah sebabnya saya menggesa semua siasatan berhubung perkara terbabit dihentikan, dan pelajar berkenaan diberikan panduan dan sokongan diperlukan, berbanding diancam serta dilayan seperti penjenayah.”

Semalam, Ketua Polis Hulu Selangor Suffian Abdullah, berkata polis menahan dua remaja berusia 18 tahun selepas menerima laporan daripada seorang guru wanita.

Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Hulu Selangor menyerbu rumah suspek dan menahan mereka sebaik menerima laporan, termasuk merampas telefon bimbit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.