Kerajaan lancar inisiatif tingkat pendapatan miskin tegar, B40

Kerajaan lancar inisiatif tingkat pendapatan miskin tegar, B40

Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak boleh meneruskan pemberian wang tunai dalam jangka panjang.

Rafizi Ramli menyerahkan sijil penghargaan Inisiatif Operator Perkhidmatan kepada Muhammad Helmi Firdaus Abdul Khalid pada pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat di LRT Cempaka hari ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kiri) dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun (kanan).
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40.

Katanya, program itu akan memanfaatkan sektor awam, swasta dan masyarakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi bagi menangani kemiskinan dan ketidaksamaan dalam negara.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia membabitkan tiga inisiatif, iaitu Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan) and Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

“Intan akan menyasarkan golongan berminat dalam bidang pertanian. Tanaman makanan dengan jumlah dagangan tinggi dan diimport seperti cili, halia dan jagung, akan ditanam.

“Untuk usaha ini, kerajaan akan membuka tanah kerajaan persekutuan seluas 800 ekar (324ha) bagi memberi peluang kepada rakyat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian.

“Bagi Insan, inisiatif itu bertujuan menjual makanan siap seperti sarapan dan makan tengah hari pada harga serendah RM2 melalui mesin layan diri. Ini akan memberi peluang kepada ramai untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya selepas pelancaran IPR di Ampang.

Bagi Ikhsan, inisiatif ini akan mengambil pekerja mahir dalam penyelenggaraan dan perkhidmatan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di sektor awam.

Sehingga kini, sejumlah 126,372 keluarga didaftarkan miskin tegar di bawah sistem e-Kasih, manakala 2.91 juta keluarga dikategorikan B40.

Dianggarkan 150,000 orang mendapat manfaat daripada inisiatif itu untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Rafizi berkata, kerajaan perlu beralih daripada pemberian bantuan sekali saja dan menggunakan pendekatan disasarkan.

Katanya, program awam lain akan diperkemaskan bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan mencapai sasaran membantu golongan miskin.

Beliau mengakui kerajaan tidak boleh lagi meneruskan pemberian bantuan sekali saja akibat hutang berjumlah RM1.5 trilion.

“Kami hanya mempunyai satu peluang terbuka untuk melakukannya (pembaharuan struktur).

“Sebarang pembaharuan struktur berdepan sedikit kesukaran pada mulanya, namun kami tidak mahu mengulangi tindakan pentadbiran lalu yang cuba melakukan pembaikan segera, tetapi memanjangkan isu struktur.”

Menerusi Bajet 2023, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM8 bilion untuk diagihkan sebagai bantuan tunai di bawah Sumbangan Tunai Rahmah yang akan memanfaatkan 8.7 juta orang. Golongan termiskin akan menerima bantuan sehingga RM3,100.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.