
PETALING JAYA: Mulai bulan depan, elaun bagi pembantu pendidikan masyarakat sukarela (PPMS) Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM800 sebulan, kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, kenaikan elaun kepada 9,439 PPMS di seluruh negara itu melibatkan tambahan peruntukan RM30 juta melalui Belanjawan 2023 yang dibentang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Jumaat.
“Kenaikan elaun ini sebagai penghargaan kepada PPMS yang melaksanakan tugas seperti menyediakan keperluan makan minum, membantu memastikan aspek kebersihan premis dan keselamatan kanak-kanak dari semasa ke semasa,” katanya menurut Bernama.
Bayaran elaun saguhati kepada PPMS bermula 2011 sebanyak RM400 sebulan, dinaikkan kepada RM500 sebulan pada 2017.