4 ditahan kes curi kenderaan, menyamar penjawat awam

4 ditahan kes curi kenderaan, menyamar penjawat awam

Salah seorang suspek mengenakan uniform lengkap seperti anggota polis sebelum melarikan kereta jenis Honda Civic yang dipandu ujinya, kata polis.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata semua suspek berjaya ditahan dalam siri tangkapan di beberapa kawasan dan mereka direman sehingga Selasa ini.
KUALA LUMPUR:
Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selayang, Selangor serta Alor Setar dan Jitra, Kedah pada Ahad lepas dan awal pagi semalam, disyaki terlibat kes curi kenderaan dan menyamar sebagai penjawat awam.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata mereka berusia 30 hingga 40 tahun dengan dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan penjaja makanan manakala dua lagi tidak bekerja.

Beliau berkata dalam kejadian pada 15 Feb lepas, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja sebagai jurujual di pusat jualan kenderaan di Ampang di sini, telah didatangi dua suspek yang menyamar sebagai pelanggan dengan menaiki sebuah Perodua Myvi.

“Seorang daripada suspek yang memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis menyatakan keinginan memandu uji kereta jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam. Suspek kemudian memandu uji kereta terbabit manakala mangsa (jurujual) duduk di bahagian penumpang hadapan.

“Apabila sampai di stesen minyak di Pandan Jaya, suspek telah meminta mangsa membelikan kad tambah nilai sebelum bertindak melarikan diri bersama kereta itu selepas mangsa keluar dari kenderaan. Ia menyebabkan mangsa kerugian RM270,000,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Farouk berkata selepas menerima laporan, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan semua suspek serta merampas sebuah Perodua Myvi bersama kunci yang digunakan semasa kejadian.

Beliau berkata polis turut menemukan sebuah kereta Honda KH8 berserta kunci dan pelbagai peralatan kenderaan dipercayai telah dileraikan daripada Honda Civic FK8 Type R yang dicuri, sepasang uniform operasi polis serta beberapa peralatan lain.

“Semua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Mohamad Farouk menasihatkan orang ramai terutama penjual kenderaan mewah supaya sentiasa berhati-hati semasa proses jual beli kenderaan dan tidak terpengaruh dengan modus operandi seumpama itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.