
Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm), Mohd Saiful Munir Mohd Isa berkata, dia tidak dapat menyembunyi perasaan sebak apabila mengingati detik pilu itu.
“Saya masih teringat apabila ada seorang pramugari, berkata “please save our son” (tolong selamatkan anak-anak mereka).
“Kita boleh lihat ratapan dan tangisan keluarga yang sanggup menunggu sehingga hari terakhir kami di sana dan masih ada lagi seorang datuk mengharapkan kita membantunya mencari cucu yang masih belum ditemui,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di KLIA kelmarin.

Turut berkongsi pengalaman, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Amirsarifudin Zalman yang berkata dia tidak menafikan suasana di sana amat menguji emosinya.
Amirsarifudin berkata, masih terbayang keresahan dan kepiluan di wajah mangsa yang merayu keluarga mereka tertimbus diselamatkan di mana hasil makluman daripada waris, APM berjaya menemukan 28 mayat.
“Semasa pengoperasian, memang ada ahli keluarga sedang menunggu di tepi dan mereka akan maklumkan dengan tangisan dan minta ke lokasi yang mereka fikirkan betul ada mangsa.
“Kita kalau boleh tidak mahu memandang ke arah mereka (keluarga mangsa). Kita nampak bagaimana apabila mereka hilang ahli keluarga dalam bencana,” katanya.

Sementara itu, bagi Komander Smart Malaysia, Mohd Khairul Jamil, misi menyelamat di Turki turut didatangi berita mencemaskan apabila dimaklumkan isteri bertarung nyawa melahirkan anak ketiganya.
Katanya, walaupun diuji dengan keadaan kesihatan tidak stabil, ditambah pula kerisauan mengenangkan keadaan isteri serta bayi, dia sedaya upaya mengawal emosi dan berserah pada Allah.
“Suami mana tidak sedih apabila tiada di samping isteri ketika melahirkan anak, tetapi kita berserah kepada Allah. Sepatutnya isteri saya bersalin bulan depan tetapi bersalin awal, kita cuma berserah dan tanggungjawab untuk menyelamat tetap diteruskan,” ujarnya.
Kelmarin, 70 pasukan penyelamat Malaysia bersama tiga orang wakil media selamat tiba di tanah air semalam selepas 14 hari berada di wilayah Gaziantep, Turki bagi menjalankan operasi SAR.
Malaysia menghantar pasukan Smart yang dianggotai 70 anggota ke Turki bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di negara tersebut.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada 6 Feb lalu meragut ribuan nyawa.
Angka kematian akibat gempa bumi dahsyat di selatan Turki meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang manakala jumlah mangsa cedera ialah 40,910 setakat ini.