
Anak tunggal mangsa, Hafizan Sulaiman, 35, mengesahkan Sarimah Abdul Rahman, 55, menghembuskan nafas terakhir pada 4.19 petang tadi.
Beliau berkata, ibunya ditidurkan sejak 10 malam Khamis, iaitu hari sama mangsa dihantar ke HPP selepas parah dalam kejadian kira-kira 9 pagi.
“Ibu ketika dibawa ke HPP masih dalam keadaan sedar dan dia kemudiannya semakin lemah sebelum doktor tidurkannya semasa menerima rawatan lanjut. Keadaan kesihatan ibu semakin merosot dan tidak menentu selepas itu.
“Hari ini, doktor hubungi saya memaklumkan keadaan kesihatan ibu semakin teruk dan saya terus ke hospital sebelum dimaklumkan ibu telah meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya menurut Bernama.
Hafizan yang tinggal di Seberang Perai dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bukit Minyak berkata, jenazah ibunya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jaya, dekat George Town selepas solat Isyak.
Beliau yang terkilan dan sedih berkata, ibunya sebelum ini tinggal dengannya, namun baru berpindah ke flat berkenaan kerana lebih dekat dengan tempat kerjanya.
“Selalunya saya bertemu ibu seminggu sekali, tapi sejak sebulan lepas, ibu selalu mengelak berjumpa dan beri alasan sibuk serta tiada cuti. Saya reda dengan pemergian ibu, namun dalam masa sama masih bersedih dan sangat terkilan,” katanya yang beberapa kali menahan sebak.
Terdahulu, media melaporkan ibu tunggal itu melecur lebih 60% dalam kejadian pagi kelmarin.
Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal bersendirian di rumah sewanya, menyalakan dapur untuk memasak tanpa menyedari tong gas mengalami kebocoran sebelum meletup.