
Beliau berkata, akta itu merupakan lanjutan daripada tatakelola dan peraturan perbendaharaan sedia ada.
“Ini penting bagi mengelak berlaku ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan juga memberi garis panduan bukan terhadap spesifikasi sesuatu perkhidmatan, produk atau pun kerja-kerja, tetapi aspek harga serta tempoh waktu dan kualiti perkhidmatan atau barangan yang dibekalkan,” katanya menurut Bernama
Zahid berkata, akta itu penting supaya tiada ketirisan akibat faktor rasuah, keuntungan terlampau tinggi atau perkara menyebabkan rakyat terbeban dengan ketidakpatuhan tatakelola.
“Yang ada sekarang ini hanya berbentuk arahan dari perbendaharaan dan lebih penting apabila ia diaktakan, semua tatakelola dan pengendalian akan terikat kepada akta.
“Jika ada beberapa elemen penyelewengan, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa, pesalah itu akan terikat kepada hukuman, jika pelanggaran itu dilakukan.”
Mengenai langkah syarikat berkaitan kerajaan mengambil alih institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023, katanya, ia tidak memerlukan pihak swasta membina pusat latihan baharu, sebaliknya menggunakan kemudahan dan peruntukan sedia ada.
Katanya, ini akan membolehkan kursus TVET disesuaikan dengan tenaga kerja yang ditempatkan di syarikat berkenaan.
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, ini penting kerana pasaran guna tenaga Malaysia memerlukan tenaga berketerampilan dan berkemahiran tinggi bagi mengelakkan kebergantungan terhadap pekerja asing yang akan membebankan negara.