Syed Saddiq tak arah keluar RM1 juta dari akaun Bersatu, kata saksi

Syed Saddiq tak arah keluar RM1 juta dari akaun Bersatu, kata saksi

Bekas ketua penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin berkata perkara itu diberitahu ketika memberi keterangan kepada SPRM.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas tuduhan pecah amanah, penyelewengan aset dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM1.2 juta dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Seorang saksi pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu mahkamah bekas ketua Pemuda Bersatu itu tidak mengarahkan pembantu bendahari Rafiq Hakim Razali mengeluarkan RM1 juta dari akaun parti itu.

Bekas ketua penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin memberitahu Mahkamah Tinggi, perkara itu diberitahu kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Jun 2020.

Ulya yang membawa kenyataan saksinya berkata, satu mesyuarat diadakan dan dihadiri lima pemimpin tertinggi pemuda (G5) di kediaman Syed Saddiq di Petaling Jaya pada lewat Feb atau awal Mac 2020.

Selain Syed Saddiq dan Ulya, antara pemimpin yang hadir ialah Rafiq, timbalan Syed Saddiq, Aizad Roslan, dan pembantu setiausaha Ahmad Redzuan Ahmad Shafi.

“Jumlah wang yang akan dikeluarkan akan ditentukan selepas perbincangan dengan ahli majlis eksekutif pemuda yang lain,” katanya.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin, Ulya menafikan kenyataannya di mahkamah bertentangan dengan kenyataan yang diberikan terdahulu kepada SPRM.

Wan Shahruddin kemudiannya membacakan kenyataan yang dierikan Ulya kepada SPRM yang menyatakan beliau tidak tahu mengenai arahan yang diberikan Syed Saddiq mengenai pengeluaran wang berkenaan.

Wan Shahruddin: Saya nyatakan di sini bahawa kamu menipu di mahkamah.

Ulya: Saya tidak bersetuju.

Wan Shahruddin terus membaca kenyataan itu dan bertanya kepada Ulya sama ada beliau mahu mengubah jawapannya.

Bagaimanapun, saksi ketiga itu kekal dengan pendiriannya.

Pendakwaan berhujah bahawa Syed Saddiq mengarahkan Rafiq dan Ahmad Redzuan mengeluarkan wang RM1 juta ketika pertemuan di rumah tertuduh.

Wan Sharuddin kemudiannya memohon Hakim Azhar Abdul Hamid untuk memasukan sebahagian kenyataan kepada SPRM yang sesuai sebagai bukti.

Bagaimanapun, peguam Syed Saddiq, Gobind Singh Deo membantah dan berkata, Wan Shahruddin hanya boleh membuat permohonan untuk mencabar Ulya.

“Mereka tidak memberikan kami kenyataan itu terlebih dahulu tetapi kini menggunakannya. Amalan seperti ini sentiasa meletakkan tertuduh dan pembelaan di kedudukan tidak adil,” katanya.

Selepas rehat sebentar, Azahar berkata, buat masa ini beliau menerima kenyataan itu sebagai bukti, tetapi kedua-dua pihak boleh mengemukakan kebolehterimaan bukti tersebut selepas pembelaan menutup kes.

Ketika disoal balas peguam Tiara Katrina Fuad, Ulya berkata, jawapannya kepada pegawai SPRM tidak berkaitan dengan apa yang berlaku di rumah Syed Saddiq.

“Di rumah itu Syed Saddiq tidak memberikan sebarang arahan, tetapi selepas itu, saya tidak tahu,” katanya.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Stesen Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun bank milik ABBE untuk dirinya dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, yang dipercayai hasil aktiviti haram, dengan memindahkannya daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, di sebuah bank di Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan ditangguhkan pada 13 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.