
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan sidang tujuh hakim berkata demikian dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan itu, berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.
“Badan penyiasatan seperti SPRM, mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum siasatan (dimulakan), dan kegagalan tidak memaklumkannya menunjukkan terdapat kekurangan ‘bona fide’ di pihak mereka.
“Pengumuman itu (yang dibuat oleh SPRM di media) sudah cukup untuk merosakkan kebebasan kehakiman,” katanya.
Peguam, Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa, dan Sreekant Pillai memfailkan saman terhadap SPRM tahun lalu untuk mempersoalkan siasatan terhadap Nazlan.
Ketiga-tiga mereka mendakwa bahawa siasatan SPRM adalah pencabulan kebebasan badan kehakiman dan pengasingan kuasa oleh cabang eksekutif.
Hakim lain yang turut mendengar tuntutan peguam itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Besar Malaya, Zabidin Mohd Diah; serta Hakim Nallini Pathmanathan, Vernon Ong, Harmindar Singh Dhaliwal, dan Rhodzariah Bujang.
Tengku Maimun mempersoalkan pemasaan siasatan dan berkata, pada masa itu, spekulasi berleluasa bahawa rayuan Najib Razak bagi kes SRC International akan didengar.
Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan kesalahan Najib atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu.
“Masa siasatan terhadap Hakim Nazlan, yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman, juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan itu (dilakukan secara) ‘bona fide’,” katanya.
Tengku Maimun berkata pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara “semasa memberi arahan untuk siasatan dan berhubung keputusannya untuk mendakwa.”
“Walaupun Perlembagaan memberikan hak kepada badan penyiasat untuk siasat dan pendakwa raya mempunyai budi bicara sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya, kuasa ini mesti dilaksanakan dengan suci hati.
“Jika siasatan dibuat untuk tujuan kolateral, maka ia boleh diketepikan,” katanya.
Peguam, Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth mewakili Haris, Ain, dan Sreekant; manakala Liew Horng Bin mewakili SPRM.
New Sin Yew mewakili Badan Peguam Malaysia sebagai “amicus curiae” (sahabat mahkamah).