
Presidennya Oliver Wee, berkata, apabila projek itu siap dan beroperasi sepenuhnya, ia akan membawa kesan berganda kepada sektor terbabit dan sangat penting buat pemain kecil industri.
“Ramai pemain industri dan sub sektor pembinaan menunggu untuk kembali kepada keadaan asal dari segi jumlah perniagaan pembinaan.
“Projek itu ketika ini berada di peringkat lanjut. Tanpa projek mega utama, pemulihan industri pembinaan akan tertangguh dan memberi kesan kepada survival kontraktor,” katanya.
Mengakui Putrajaya akan menyemak semula perincian projek itu untuk mencapai penjimatan sebanyak mungkin, beliau yakin ia tidak akan menyebabkan kelewatan selagi kerajaan mengutamakan penilaian semula.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 berkata, kerajaan berharap kos projek itu dapat dikekalkan bawah RM45 bilion.
Projek MRT3 meliputi jajaran sepanjang 50.8km meliputi perimeter Kuala Lumpur. Kerja pembinaan disambung semula tahun lalu selepas ditangguhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 dan tertangguh lagi akibat pandemik Covid-19.
MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030, dengan fasa pertama dijangka beroperasi mulai 2028.