Warga Turki beri bunga sambut kepulangan pasukan Smart

Warga Turki beri bunga sambut kepulangan pasukan Smart

Kumpulan itu dilihat membawa bendera Malaysia, Turki dan sepanduk mengucapkan terima kasih kepada pasukan SAR negara.

Seorang kanak-kanak lelaki warga Turki menghulurkan bunga kepada anggota penyelamat negara yang pulang ke tanah air selepas misi SAR di wilayah Hatay.
SEPANG:
Sekumpulan Warga Turki yang menetap di Malaysia turut menyambut kepulangan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sebagai tanda terima kasih kerana membantu negara itu yang ditimpa bencana gempa bumi.

Kumpulan itu yang membawa bendera Malaysia, Turki dan sepanduk mengucapkan terima kasih turut dilihat memberi bunga kepada setiap anggota SAR yang pulang itu.

Seorang warga Turki, Ayse Gul Uzundemir, 33, berkata beliau dan keluarganya di Malaysia amat berterima kasih kepada pasukan SAR kerana mewakili mereka membantu mangsa gempa bumi di negaranya.

“Sewaktu terima berita sedih itu, kami sekeluarga tidak boleh buat apa. Tapi bila tahu Malaysia hantar pasukan SAR ke sana saya rasa amat bahagia sebab itu, hari ini kami berada di sini untuk menyambut mereka.

Antara rakyat Turki di Malaysia yang meraikan pasukan SAR.

“Saya berada di sini tapi hati saya berada di sana (Turki). Tapi saya bangga ada pasukan dari sini (Malaysia) ke sana untuk bantu rakyat Turki,” katanya kepada FMT.

Ayse dan keluarga yang sudah lebih 20 tahun menetap di Malaysia berharap rakyat Turki bersabar dan kembali bangkit, meneruskan kehidupan.

“Memang sedih tapi rakyat Turki di sana harus bangkit dan mulakan hidup baru. Terima kasih rakyat Malaysia bantu rakyat kami di sana,” katanya.

Terdahulu 70 anggota terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Agensi Pengurusan Bencana Negara, Bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam tiba di KLIA menerusi dua penerbangan bersama dua ekor anjing Unit Pengesan K9, Denti dan Frankie.

Pasukan itu dihantar ke Turki bagi membantu mangsa gempa bumi di selatan negara itu sebagai tanda solidariti.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada 6 Februari lalu, meragut puluhan ribuan nyawa.

Bagi Kubra Nur Gundogdu, 27, walaupun kediaman keluarganya di Turki jauh dari kawasan gempa bumi, dia tetap bimbang dan bersedih dengan yang terjadi.

“Pasukan SAR Malaysia antara yang pertama tiba di Turki, saya rasa bangga dan sayang rakyat Malaysia. Walaupun keluarga saya tak terjejas dengan gempa bumi itu tapi sudah tentu kami bersedih,” katanya yang sudah menetap di Malaysia hampir 13 tahun.

Esra Onbasi, 30, pula mengakui dirinya semakin sayang dengan negara ini dan bersyukur memilih menyambung ijazah kedoktoran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Terima kasih rakyat Malaysia, kerana bantu rakyat Turki di sana,” katanya yang sudah lima tahun berada di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.