Tiada rancangan kaji semula duti eksais kereta, kata Tengku Zafrul

Tiada rancangan kaji semula duti eksais kereta, kata Tengku Zafrul

Menteri Miti berkata duti eksais penting menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan serta pembangunan vendor.

Tengku Zafrul Aziz berkata, duti eksais menggalakkan vendor mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif tempatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif, khususnya duti eksais, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menteri Tengku Zafrul Aziz berkata duti eksais misalnya berperanan penting menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) serta pembangunan vendor.

“(Duti eksais) ini untuk menggalakkan vendor mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia,” katanya menurut Bernama.

Menjawab soalan tambahan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Tengku Zafrul berkata kerajaan menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais serta cukai jualan.

Pengecualian dan pengurangan duti import turut diberikan ke atas komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan, katanya.

Beliau berkata, kadar atau tahap insentif diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi, serta pelan untuk eksport.

“Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen-komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean,” katanya.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing, selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan daripada Azahari Hasan (PN-Padang Rengas), Tengku Zafrul menjelaskan duti eksais bagi kenderaan mampu milik terutamanya harga kereta berkurangan daripada RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus, berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 60 hingga 110% untuk kereta mewah.

“Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan harga kenderaan tidak dikawal kerajaan sebaliknya dipengaruhi oleh daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.