
Majistret Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan arahan itu semalam terhadap Daniel Iskandar yang kini berusia 20 tahun, selepas meneliti laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Tertuduh merupakan pesalah muda. Oleh itu, memerintahkan tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai umur 21 tahun,” katanya menurut Bernama.
Mahkamah turut memerintahkan remaja itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka bermula semalam.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri wang RM74 daripada tabung milik surau Al Munir Batu 17 Kuang, Rawang pada 12.44 tengah hari 5 Disember 2022. Dia berusia 19 tahun ketika kejadian.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, tertuduh hendaklah dihukum penjara dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Peguam Suhaida Mohd Sobri daripada Jabatan Bantuan Guaman, Selangor yang mewakili Daniel memohon hukuman ringan dengan mengambil kira laporan sosial yang dibacakan oleh wakil JKM selain anak guamnya merupakan pesalah muda serta telah insaf.
“Sebelum ditangkap, tertuduh bekerja di bengkel kereta dan dijaga oleh datuknya. Ibu bapa anak guam saya telah bercerai dan dia anak sulung daripada tiga beradik yang seorang daripadanya ialah orang kurang upaya (OKU),” kata peguam itu.
Dalam pada itu, pegawai JKM, Mohamad Hanafi Sedi memohon supaya Daniel diperintahkan ditahan di sekolah itu sehingga mencapai 21 tahun.
Pada 13 Jan tahun lepas, Daniel dihukum penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan tahun lepas, mengetepikan hukuman penjara dan denda itu terhadap Daniel, menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.
Kes Daniel mendapat perhatian selepas satu video tular menunjukkan remaja itu dimandikan seperti jenazah oleh seorang imam kerana cuba mencuri tabung derma berkenaan.