
Ketua Polis Padang Terap, Mulkiaman Manzar, berkata kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran negara jiran itu menghimpit motosikal digunakan bagi tujuan pemantauan di sempadan.
Katanya, kenderaan itu didapati keluar dari kawasan hutan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan, namun bertindak memecut walaupun diarahkan pihak tentera memberhentikan kenderaan.
“Kenderaan tersebut cuba menghimpit motosikal tentera dan hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pegawai tentera membonceng motosikal melepaskan beberapa das tembakan.
“Kenderaan itu kemudian terbabas ke bahu jalan kanan jalan,” katanya dalam kenyataan.
Mulkiaman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki dalam kenderaan itu merupakan warga tempatan.
“Seorang daripada mereka mengalami cedera di kaki dan seorang lagi luka di kepala akibat terbabas,” katanya.
Katanya, kedua-duanya dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan.
“Dalam kejadian tersebut, tiada sebarang kejadian atau kecederaan ke atas orang awam yang berada di kawasan sekitar,” katanya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan tersebut mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam mengandungi daun disyaki ketum.
“Anggaran berat belum dipastikan. Kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Racun 1952,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, dua lelaki tempatan ditahan tengah hari semalam selepas kenderaan mereka terbabas ke dalam longkang hingga bungkusan daun ketum bertaburan di bahu jalan.