Polis gagal cubaan angkut syabu RM64.8 juta

Polis gagal cubaan angkut syabu RM64.8 juta

Syabu seberat 1.8 tan itu cuba diangkut oleh sebuah sindiket dadah menggunakan lori tunda sebelum dikesan polis.

Ketua Polis Perlis Surina Saad menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas bernilai kira-kira RM64.8 juta pada sidang media di IPK Perlis hari ini. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Polis menggagalkan cubaan sindiket dadah mengangkut 1.8 tan dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM64.8 juta dengan menggunakan lori tunda untuk menunda sebuah lagi lori yang membawa bahan itu.

Ketua Polis Perlis, Surina Saad, berkata lori tunda itu ditahan ketika operasi bersepadu melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 Briged Utara, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis dan Polis Marin Perlis di sekitar Jalan Sungai Baru Simpan Empat kira-kira 4 pagi pada 19 Feb.

“Ketika rondaan ketua pasukan operasi tersebut menahan sebuah lori yang sedang menunda lori yang tertutup dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 27 guni yang setiap satu mengandungi 25 bungkusan disyaki dadah jenis syabu di dalam lori yang ditunda tersebut,” katanya kepada media di IPK Perlis.

Polis turut menahan lima warga tempatan termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 29 hingga 49 tahun yang bekerja sebagai ejen kasino, tukang masak, dan penyanyi kelab malam.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan semua suspek direman tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan.

“Dadah yang dibawa masuk dari negara jiran itu dipercayai akan diedar ke selatan negara untuk kegunaan lebih kurang sembilan juta penagih dan ini merupakan tangkapan terbesar,” katanya, dan menambah siasatan lanjut akan diadakan bagi memburu dalang sindiket.

Polis turut menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM400,000 termasuk tiga buah kenderaan, barang kemas, dan wang tunai.

Surina berkata seorang suspek cuba menyogok polis dengan menawarkan wang tunai RM200,000 bagi menutup kes namun ditolak, dan hal itu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Polis akan meneruskan operasi bersepadu melibatkan semua elemen pasukan itu bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.