
Pembeli berkenaan merangkumi rakyat Singapura (76 orang), Malaysia (58), China (30), AS (dua), dan Indonesia (satu).
Apartmen mewah Princess Cove yang dibeli dengan harga antara RM900,000 hingga RM1.5 juta setiap satu, dibangunkan syarikat China, R&F Development Sdn Bhd, anak syarikat R&F Properties yang juga syarikat pemaju terkemuka di negara itu.
Dalam saman difailkan menerusi Tetuan Vin Sa & Ian itu, plaintif mendakwa pemaju gagal memohon subbahagian bangunan dalam tempoh enam bulan selesai dibina, seperti diwajibkan mengikut Seksyen 8 Akta Hak Milik Strata 1985.
Pemilik itu mendakwa Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan pada November 2018 dan bangunan itu layak diduduki sejak itu.
Bagaimanapun, mereka mendakwa syarikat pemaju gagal menyerahkan cadangan pelan strata kepada ketua pengarah ukur dan pemetaan (JUPEM) dalam tempoh enam bulan selepas itu, seperti diwajibkan undang-undang.
“Pemilik memohon mahkamah mengarahkan pemaju menyerahkan kepada pihak berkuasa semua dokumentasi perlu dalam tempoh tujuh hari perintah dikeluarkan.
“Mereka turut mahu mahkamah memberikan tarikh akhir untuk hak milik strata individu dikeluarkan oleh pejabat tanah Johor,” menurut dokumen yang dilihat FMT.
Pemilik berkenaan turut memohon ganti rugi dan kos.
Dalam afidavit menyokong permohonan itu, seorang pemilik berkenaan mendakwa pemaju sama ada gagal atau tidak mengendahkan permintaan mereka untuk memberikan penjelasan munasabah.
Peguam G Vinodsagaran yang mewakili pemilik berkenaan mengesahkan saman telah diserahkan kepada syarikat pemaju, dan pengurusan kes ditetapkan pada 20 Mac ini di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Peguam R&F Development enggan mengulas perkara itu.