Kumpulan pertama pasukan Smart tiba di KLIA

Kumpulan pertama pasukan Smart tiba di KLIA

Kumpulan pertama pasukan SAR Malaysia itu melibatkan 30 anggota dan tiga wartawan.

Kumpulan pertama pasukan mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi Turki disambut meriah setiba mereka di KLIA hari ini.
SEPANG:
Sorakan dan tepukan gemuruh menyambut ketibaan kumpulan pertama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kumpulan yang terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (Smart) Nadma, anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketibaan penerbangan pertama pada tengah hari tadi yang membawa 30 anggota penyelamat dan tiga wartawan itu disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali.

Turut hadir ahli keluarga, rakan sepasukan dan warga Turki yang menetap di Malaysia bagi menyambut kepulangan mereka.

Armizan menyuarakan kesyukuran atas kepulangan semua anggota SAR dalam keadaan selamat, meskipun sembilan anggota dilaporkan mengalami masalah kesihatan seperti demam, kecederaan bahu dan lutut.

“Secara keseluruhan, penugasan pasukan SAR berjalan lancar sepanjang operasi. Pada masa sama, sepanjang operasi, petugas SAR Malaysia turut berhadapan masalah kesihatan.

“Semua yang terlibat telah pulih selepas mendapat rawatan pasukan perubatan, selain seorang mendapat rawatan lanjut di Hospital Ankara,” katanya dalam sidang media.

Beberapa warga Turki turut memberi bunga kepada anggota penyelamat itu sebagai tanda terima kasih.

Difahamkan, penerbangan kedua yang membawa 35 anggota penyelamat dijangka tiba 5 petang ini.

Pasukan itu pulang ke Malaysia selepas 14 hari berada di “ground zero” bagi melakukan kerja mencari dan menyelamat di wilayah Gazientep, yang terkesan teruk akibat gempa bumi pada 6 Feb lalu.

Pasukan itu mendapat perhatian rakyat Turki selepas menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam runtuhan bangunan selama enam hari.

Malaysia menghantar 70 anggota Smart dan penyelamat ke Turki bagi membantu misi SAR di negara itu sebagai tanda solidariti.

Gempa kuat bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turki dan barat laut Syria itu meragut puluhan ribu nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.