
Hadi mendakwa, pihak itu menggambarkan Islam seolah-seolah satu “agama yang menakutkan”, lapor Berita Harian.
“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini? Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.
“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa,” katanya pada acara di Ampang semalam.
Hadi berkata, malang apabila ada pihak yang terpengaruh dengan naratif yang dibawa golongan tersebut.
“Kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, hikmah,” kata Hadi.
Perarakan Himpit itu berlangsung Jumaat lepas di Setiu, Terengganu, pada permulaan perhimpunan Pemuda PAS selama dua hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, perarakan seperti itu tidak wajar kerana ia akan memberi gambaran yang tidak baik kepada Islam serta negara.
Perarakan tersebut turut mendapat kritikan daripada Pakatan Harapan dan MCA.
Pemuda PAS Terengganu mempertahankan perarakan itu, dengan berkata ia sama seperti acara “cosplay” yang diadakan setiap tahun. Ia tidak sekali-kali bertujuan untuk menghasut keganasan, tegasnya.