Kerugian banjir RM622 juta tahun lepas

Kerugian banjir RM622 juta tahun lepas

Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin berkata ia bersamaan 0.03% daripada keluaran dalam negara kasar nominal.

Aset dan infrastruktur awam mendahului senarai kerugian akibat banjir tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kerugian akibat banjir tahun lepas melebihi RM600 juta, berkurangan berbanding RM6.1 bilion pada 2021, kata Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin berkata kerugian RM622.4 juta pada 2022 bersamaan 0.03% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal.

“Kerugian tempat tinggal berjumlah RM157.4 juta, kenderaan RM18.8 juta, pembuatan RM8.7 juta, premis perniagaan RM50.3 juta, pertanian RM154.5 juta serta aset dan infrastruktur awam RM232.7 juta,” katanya dalam kenyataan.

Angka itu diperoleh daripada laporan khas jabatan itu mengenai kesan banjir di Malaysia, yang mengambil kira semua negeri, kecuali Labuan dan Putrajaya.

Jabatan itu mengadakan temu bual bersemuka di kawasan terjejas menggunakan soal selidik, selain melakukan pemerhatian dan panggilan telefon.

Ia turut menggunakan data diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pejabat kerajaan negeri dan daerah.

Ia turut mengumpul data daripada pusat pemindahan sementara (PPS), majlis pengurusan komuniti kampung dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini membolehkan jabatan mengumpul data lebih komprehensif.”

Dari segi tempat tinggal, katanya, Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM84.2 juta, diikuti Kelantan (RM44.4 juta) dan Kedah (RM15.3 juta).

Daerah yang mencatatkan kerugian tertinggi di Terengganu, Kelantan dan Kedah ialah Hulu Terengganu (RM32 juta), Pasir Mas (RM28.7 juta) and Baling (RM14 juta).

Bagi kenderaan pula, tiga negeri yang mencatatkan kerugian tertinggi ialah Kedah (RM11.5 juta), Terengganu (RM3.4 juta) dan Kelantan (RM2 juta).

Dalam sektor pembuatan, Terengganu merekodkan kerugian tertinggi dengan RM7.1 juta, diikuti Kelantan (RM1.2 juta) dan Sabah (RM300,000).

“Terengganu mencatatkan jumlah kerugian tertinggi bagi premis perniagaan berjumlah RM25.3 juta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.