Kertas siasatan perarakan Pemuda PAS dirujuk pejabat pendakwaan

Kertas siasatan perarakan Pemuda PAS dirujuk pejabat pendakwaan

Perarakan itu mencetuskan kontroversi selepas peserta dilihat membawa replika senjata seperti pedang dan tombak.

Lima laporan polis juga dibuat berhubung perarakan Himpit yang didakwa mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian kaum. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung perarakan membawa replika senjata oleh Pemuda PAS Terengganu dihantar ke pejabat pengarah pendakwaan negeri semalam, kata Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa.

Beliau dipetik Bernama berkata, polis mengambil keterangan 36 individu melibatkan penganjur dan peserta program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) di Setiu minggu lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Hasutan Kesalahan Kecil 1955.

“Kertas siasatan sudah dihantar dan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri semalam. Kita tunggu arahan untuk tindakan seterusnya.”

Rohaimi berkata, pihaknya menerima lima laporan polis berhubung perarakan itu yang didakwa mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian kaum.

Perarakan itu mencetuskan kontroversi selepas peserta dilihat membawa replika senjata seperti pedang dan tombak.

Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar berkata, perarakan membawa replika senjata itu tidak wajar kerana memberi imej tidak baik kepada Islam, manakala Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berpendapat, perarakan itu boleh menimbulkan kegusaran orang ramai.

Semalam, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyelar pihak yang mengkritik perarakan itu dengan berkata, kritikan itu berbaur Islamofobia.

Pemuda PAS Terengganu turut mempertahankan perarakan itu dengan menyifatkannya seperti acara “cosplay” yang diadakan setiap tahun dan tidak bertujuan menghasut keganasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.