Fitnah pasangan suami isteri: Ahli Parlimen diarah bayar ganti rugi RM150,000

Fitnah pasangan suami isteri: Ahli Parlimen diarah bayar ganti rugi RM150,000

Bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan diarah membayar ganti rugi berhubung mesej WhatsApp membabitkan dakwaan mereka menipu beberapa ahli perniagaan.

N Gobalakrishnan turut diarah membayar kos RM40,000 kepada pasangan itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan membayar ganti rugi RM150,000 kepada sepasang suami isteri berhubung mesej WhatsApp berbaur fitnah membabitkan dakwaan mereka menipu beberapa ahli perniagaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pasangan itu terhadap Gobalakrishnan.

Ketika mengesahkan perkara itu, peguam Rueben Mathiavaranam yang mewakili pasangan tersebut, berkata mahkamah turut mengarahkan Gobalakrishnan membayar kos RM40,000 kepada juruterbang S Selvakumar dan isterinya, R Indrani yang juga bekas Bendahari Parti Keadilan Rakyat cawangan Sungai Siput.

Beliau berkata dalam penghakimannya, Raja Ahmad Mohzanuddin memutuskan ketiga-tiga mesej defendan melalui WhatsApp pada 4 Jun 2019 adalah bersifat fitnah terhadap pasangan itu.

“Mahkamah turut menolak tuntutan balas Gobalakrishnan terhadap Indrani kerana ketiadaan bukti,” kata Rueben, menurut laporan Bernama.

Pernyataan tuntutan pasangan itu, yang difailkan pada 7 Nov 2019, antara lain memohon ganti rugi am, perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menulis atau menyiarkan perkataan berbaur fitnah, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.