
“Saya menganggap ini sebagai ‘lanun komersial’,” kata Azalina ketika menjawab soalan yang dibangkitkan dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu memetik dokumentari Channel News Asia dari Singapura berkaitan Sulu dan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Katanya, dokumentari itu menyentuh timbang tara komersial yang dikemukakan lapan individu mengaku waris Sultan Sulu.
Ketika dihubungi FMT, kementerian Azalina menjelaskan kumpulan penuntut itu menggunakan cara komersial “untuk melakukan ‘rompakan’ terhadap Malaysia”.
Dalam dokumentari tersebut, kumpulan yang mengaku waris Sultan Sulu itu juga mengaku mereka ialah rakyat Filipina.
“Jadi, ini adalah isu kedaulatan (negara) yang sepatutnya kita lawan di mahkamah tentang kedaulatan, bukannya di mahkamah komersial (timbang tara).”
Beliau merujuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang sepatutnya menangani pertikaian antara negara berkaitan tuntutan wilayah.
Baru-baru ini dilaporkan mahkamah di Luxembourg mengeluarkan perintah sitaan baharu terhadap dua anak syarikat Petronas, susulan tuntutan daripada waris Sultan Sulu untuk menguatkuasakan anugerah USD15 bilion (RM66 bilion) ke atas aset kerajaan Malaysia.
Anugerah itu diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu.
Bagaimanapun, Putrajaya tidak dapat mengesahkan laporan itu.
Azalina berkata, cubaan merampas aset oleh kumpulan itu bertujuan “menakut-nakutkan rakyat Malaysia” dan kerajaan yang stabil diperlukan untuk menangani tindakan itu.
“Kalau kita tidak stabil sebagai kerajaan, mereka akan mengancam aset negara. Ingat bukan saja Petronas, banyak lagi aset kita yang mereka tengah lihat.”
Katanya, satu taklimat khas untuk Ahli Parlimen berhubung isu tuntutan itu akan diadakan 2 Mac ini, yang disusuli satu lagi sesi bersama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Adun negeri itu keesokannya.
Mengenai isu penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti dakwaan bekas peguam negara, Tommy Thomas dalam memoirnya, Azalina berkata, satu kertas Jemaah Menteri akan dibentangkan minggu depan.