
Katanya, antara sebabnya termasuk tekanan mental, masalah peribadi, berhijrah ke luar negara, berkhidmat di sektor swasta dan membuka klinik sendiri.
Bagi 2022 saja, beliau berkata, seramai 1,354 atau 4.58% daripada keseluruhan 29,548 doktor kontrak meletak jawatan.
“Dalam tempoh 2017 hingga 2022, seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak meletak jawatan, iaitu secara purata 1.91% setahun.
“Antara sebabnya ialah mereka memilih berkhidmat dalam sektor swasta dan badan berkanun yang mungkin menawarkan gaji lebih menarik, membuka klinik sendiri dan melanjutkan pelajaran.
“Selain itu, ada yang berhijrah ke luar negara, (atas) sebab peribadi atau masalah kesihatan, termasuklah tekanan mental,” katanya di Dewan Rakyat.
Zaliha turut memaklumkan 76,381 petugas kesihatan daripada pelbagai skim perkhidmatan menjalani saringan kesihatan mental pada tahun lalu menerusi Ujian Saringan Kesihatan Mental (Dass).
Beliau berkata, seramai 2,558 atau 3.35% daripada jumlah itu mengalami gejala stres, keresahan (3,475 atau 4.55%) dan gejala kemurungan (2,123 atau 2.78%).
“Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum bahawa mana-mana pekerja yang bekerja dalam tempoh panjang boleh mempengaruhi masalah kesihatan mental mereka.
“Masalah kesihatan mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor psikososial, termasuklah kegagalan dalam mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.”
Sehubungan itu, katanya, KKM menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) pada Mei 2022.