
Anwar dalam surat tuntutan kepada Awang mahu ahli politik PAS itu menarik balik kenyataan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.
Beliau juga menuntut ganti rugi daripada Awang kerana mencemarkan nama baiknya.
Awang diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tuntutan itu.
Dalam surat difailkan oleh Tetuan S N Nair & Partners, Anwar berhujah kenyataan Awang berniat jahat, tidak benar, memfitnah, dan tidak berasas.
Semalam, Malaysiakini memetik Awang yang menuduh Anwar “lebih berdendam” daripada Mahathir, susulan pertuduhan rasuah terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa tiada pertuduhan lain berhubung projek kontroversi kapal tempur pesisir (LCS).
Anwar berkata kenyataan Awang itu menyindir beliau menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan serta campur tangan dalam hal ehwal Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi penguatkuasaan.
Ahli Parlimen Tambun itu juga berkata ia memberi gambaran beliau seorang berdendam, tidak beretika atau tidak berprinsip, dan bukan seorang Muslim yang baik yang menghormati Perlembagaan.
“Sebagai Ahli Parlimen, (Awang) seharusnya lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan tidak benar, berunsur fitnah dan tidak bersandarkan pada bukti. Tindakannya menyebabkan anak guam kami tiada pilihan selain memulakan tindakan ini untuk menjaga reputasinya.
“Jika anak guam kami tidak menerima sebarang maklum balas memuaskan dalam tempoh tiga hari selepas menerima notis ini, tindakan undang-undang akan dimulakan terhadap anda,” kata surat itu.