
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, Op Tropicana dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Cyber Security, Telekom, Suruhanjaya Syarikat, Tenaga Nasional Berhad, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, 24 serbuan dibuat termasuk di tiga pusat panggilan atau ‘boiler room’, syarikat serta kediaman ahli sindiket terdiri warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.
“Serbuan dijalankan dengan kaedah risikan ‘intelligence base investigation’, ‘financial investigation’, ‘covert operative’, penyamaran dan beberapa kaedah siasatan.
“Risikan juga dengan kerjasama antara agensi di Australia serta beberapa negara luar dan juga dibuat oleh Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM,” katanya.
Azam berkata, modus operandi sindiket ini adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon, ahli sindiket akan menghubungi mangsa setelah mereka ‘klik’ pada pautan untuk mendaftar dalam syarikat pelaburan serta memasukkan butiran peribadi.
“Penjenayah scammer ini dipercayai memperoleh kira-kira AUD60 juta (RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.
“Bagaimanapun, ini adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang dipercayai menipu mangsa di seluruh dunia sehingga kerugian RM1 bilion,” ujarnya.
Kata Azam lagi, selain itu, sindiket itu juga dipercayai menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan anggota sindiket dan memudahkan urusan mereka menjalankan operasi di ‘boiler room’ (pusat panggilan) mereka di negara ini.
Sementara itu, Pengarah AMLA SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin yang mengetuai serbuan tersebut mengesahkan seramai 11 individu disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut ditahan manakala seramai 70 orang ditahan oleh pihak imigresen.