
Menurutnya, silibus itu akan disertakan dengan hafazan al-Quran dengan mengekalkan aspek ketatanegaraan serta tiga kemahiran asas utama- membaca, menulis, dan mengira (3M).
“Yang penting suasana kondusif mesti dibuat, lebih penting pendidikan awal persekolahan kanak-kanak dapat kita berikan,” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.
Ketika menjawab Salamiah Mohd Nor (Temerloh-PN) yang berkata silibus awal kanak-kanak banyak menjurus kepada pengisian rohani telah diusahakan oleh Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Zahid berkata, pihaknya tidak berhasrat bersaing dengan sistem pusat asuhan itu.
“Dengan tidak berhasrat bersaing dengan Pasti, Tabika Kemas akan adakan silibus tidak lebih baik (tapi) ada nilai-nilai kerohanian dan sahsiah iaitu penghafazan surah lazim seperti al-Mulk, al-Rahman, al-Waqiah boleh diberikan dan ‘tasmik’ (mendengar) peringkat awal,” katanya.
Pasti pusat pendidikan prasekolah dikendalikan PAS.
Menjawab soalan Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) berkaitan penyelarasan silibus antara kementerian, Zahid berkata perlu ada penyelarasan antara kementerian dan kerajaan negeri.
“Kita boleh menyantuni tadika-tadika Islam dengan pihak kerajaan negeri. Kita mulakan di Kelantan. Secara peribadi saya kenal YB Tumpat, kita boleh lakukan dengan segera,” katanya.