
Dakwaan itu dalam satu video ringkas di TikTok hari ini. Wan Saiful pagi tadi didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan inisiatif Jana Wibawa.
Mohamad Shafiq Abdul Halim dalam kenyataan di Facebook berkata dakwaan itu hanyalah berdasarkan khabar angin semasa di mahkamah, bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menukar kenyataan bagi menganiayai Muhyiddin.
Kata Shafiq, video itu juga sudah disunting dan disebarkan untuk menunjukkan dia hanya menyebut hanya SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful.
“Saya tidak berniat menuduh mana-mana pihak termasuk Azam Baki (ketua pesuruhjaya SPRM).
“Live di TikTok Mohamad Shafiq petang tadi adalah reaksi kepada fitnah jahat yang dibuat oleh cyber troopers Pakatan Harapan seperti lampiran yang seolah-olah menjadi hakim dalam mengesahkan Wan Saiful meminta dan menerima rasuah,” katanya.
Terdahulu Azam menafikan dakwaan seorang pengguna TikTok bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful untuk menjadi saksi bagi mendakwa Muhyiddin.
Beliau berkata dakwaan itu sebagai fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil.
Azam ketika dihubungi FMT memaklumkan SPRM tetap akan meneruskan laporan polis kepada individu tersebut.
“Pihak kami akan teruskan (lapor polis),” katanya ringkas.
Terdahulu, Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa.
Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.