
Malah, keyakinan gadis tinggi lampai menggunakan nama ‘Lady Long Legs’ turut meningkat sejak itu susulan kandungan dalam bahasa ibunda negara menarik perhatian masyarakat.
Mengakui dirinya pemalu, Tanya berkata, walaupun sembilan tahun menetap di negara ini, namun dirinya tidak pandai berbahasa Melayu sehinggalah Covid-19 ‘mengganas’, membawa kepada perintah kawalan pergerakan (PKP).
Tiga bulan pertama PKP menyebabkan hampir semua rakyat diperintah “berkurung” di rumah, digunakannya untuk belajar bahasa Melayu selepas tertarik dengan kandungan dihasilkan di TikTok menggunakan teknik selaras bibir.

Menurutnya, beliau kemudiannya mencubanya dengan mengambil contoh video daripada carian di #foryourpage (FYP) dan mendapat maklum balas ‘oh boleh berbahasa Melayu’ yang menambah keyakinannya.
“Bila dah viral saya rasa gembira. Keluar (rumah) orang tegur ‘eh awak Lady Long Legs’, ada juga beri saya barang untuk promosinya…ini buatkan saya hendak buat lebih banyak kandungan TikTok,” kata gadis berusia 33 tahun itu kepada FMT.
Sambil berseloroh, Tanya berkata: “Terima kasih Covid-19 mungkin tanpanya saya tak akan tahu saya boleh berbahasa Melayu, ia seperti rahmat untuk saya,” katanya yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di Tiktok.
Beliau berkata, tidak sukar menguasai bahasa Melayu kerana segelintir perkataannya mirip dengan Swahili, yang mempunyai pengaruh Arab.
“Ia senang dan indah, saya sekarang jatuh cinta dengannya. Sebelum itu saya hendak belajar bahasa Cina tetapi agak susah,” katanya yang kini mendapat tawaran berlakon, selain peragawati sepenuh masa.
Gadis berketinggian 183cm itu turut disunting sebagai pengacara di syarikat penyiaran swasta, SUKE TV, dan bakal mempunyai segmen sendiri tidak lama lagi.
Tanya, anak ketiga daripada empat beradik itu, berkata dirinya semakin selesa di Malaysia dan mahu mengembangkan kerjayanya untuk jangka panjang meskipun pada peringkat awal mengalami sedikit kejutan budaya.

“Saya keliru nampak restoran buka 24 jam, pusat beli belah tutup jam 10 malam…setiap tempat ada makanan dan orang (Malaysia) suka makan di luar (kedai makan).
“Di Kenya, pusat beli belah tutup jam 7 malam, tiada kedai dibuka 24 jam dan keluarga selalu makan di rumah. (Kami) makan di luar pada hujung minggu mungkin Sabtu atau Ahad,” katanya yang lahir di Sudan Selatan tetapi membesar di Nairobi, ibu negara Kenya.
Paling disukai Tanya melihat cara masyarakat majmuk Malaysia menyambut perayaan masing-masing antaranya menyediakan pakaian baharu serta kuih muih istimewa.
Namun, ada satu perkara tidak disukainya iaitu apabila masih ada tidak mengetahui perbezaan penggunaan perkataan antara “negro” dengan orang Afrika.
“Kalau awak nampak saya berkulit hitam, boleh panggil saya orang Afrika. Tetapi (perkataan) negro itu lebih kasar,” katanya.