
Kementerian dalam kenyataan memaklumkan penetapan tarikh penguatkuasaan itu untuk memberi peluang kepada lebih ramai pengeluar dan pengedar mendapatkan sijil penandaan daripada Sirim QAS International Sdn Bhd.
Selari dengan perkara itu juga, KPDN akan mengadakan larangan import terhadap pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai perakuan standard.
“Kerajaan percaya tempoh hingga hujung Jun 2023 ini mencukupi bagi pihak pengeluar dan pengedar untuk memperoleh standard perakuan pelitup muka bukan perubatan yang dijual dalam negara,” katanya.
KPDN menjelaskan mana-mana pihak yang ingin mengedar, mengeluar, atau menjual pelitup muka bukan perubatan mesti memastikan produk berkenaan mendapat standard perakuan berkaitan dan maklumat yang berhubungan dengan standard perakuan pelitup muka bukan perubatan itu.
“Ia mestilah disertakan pada kotak atau bungkusan pelitup muka bukan perubatan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, KPDN menetapkan tarikh kuat kuasa Perintah Perihal Dagangan (Penandaan dan Perakuan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 pada 4 Julai 2022, dan kemudiannya tarikh penguatkuasaan perintah itu ditangguhkan hingga 1 Jan 2023.
Dalam tempoh itu, KPDN mengambil pendekatan pendidikan iaitu aktiviti penguatkuasaan dan tindakan hukuman tidak dilakukan kepada syarikat atau individu yang mengedar, mengeluar, dan menjual pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai perakuan standard.