
Perkara itu didedahkan dalam pertemuan tertutup antara kumpulan doktor dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa di Putrajaya hari ini.
“Beliau (Zaliha) cuba mendapatkan peruntukan lebih tiga kali ganda daripada apa yang sepatutnya kami dapat pada tahun ini bagi mengukuhkan operasi dan kemudahan,” kata seorang doktor yang menghadiri pertemuan itu, Dr Nurul Qashira Izlan kepada FMT.
Pada Okt tahun lalu, menteri kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz mengumumkan peruntukan RM36.1 juta untuk KKM.
Nurul Qashira berkata, kementerian juga memberi komitmen mengeluarkan kriteria ketat bagi menyerap doktor kontrak yang benar-benar layak ke jawatan tetap.
“Pada masa yang sama, kementerian masih merayu Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyediakan lebih banyak jawatan untuk doktor kontrak,” katanya yang turut memuji Zaliha sebagai pendengar yang baik.
Nurul Qashira yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur berkata, Zaliha juga berharap dapat meningkatkan kemudahan hospital di kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, Zaliha berkata, semua rancangan itu bergantung kepada peruntukan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Seorang lagi peserta dari Hospital Melaka, Dr Firdaus Omar berkata pertemuan itu mencapai objektif bagi membolehkan doktor menyatakan fikiran mereka dalam beberapa isu.
“Ada beberapa isu yang boleh diselesaikan dengan cepat seperti buli tetapi ada yang mengambil masa untuk diselesaikan,” katanya tanpa memberi penjelasan lanjut.
Dr B Abirami dari Hospital Shah Alam berharap, Kementerian Kesihatan akan mendapat peruntukan yang baik dalam Bajet 203 kerana semua yang dibincangkan dalam pertuan itu bergantung padanya.
“Semua yang kami mohon seperti (jawatan tetap) doktor kontrak dan kemudahan lebih baik, bergantung kepada bajet, jadi kami berharap ada berita baik untuk kami pada Jumaat ini,” kata doktor kontrak itu.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, pertemuan itu dihadiri kira-kira 350 doktor. Antara isu dibincangkan termasuklah penempatan untuk doktor kontrak, naik taraf kemudahan kesihatan, kekurangan doktor di jabatan kecemasan dan perjalanan karier untuk doktor.
“Menteri menghargai dan menghormati pendapat, maklumbalas dan cadangan yang diberikan ketika pertemuan itu yang berlangsung selama dua jam.
“Beliau mengambil semua maklumbalas dan berusaha menangani isu-isu berkenaan sama ada dari segi dasar atau teknikal yang melibatkan kementerian,” kata kenyataan itu.