194 banduan hukuman mati terima pengampunan diraja, dipertimbang ringan hukuman

194 banduan hukuman mati terima pengampunan diraja, dipertimbang ringan hukuman

Seramai 2,350 banduan dijatuhkan hukuman mati sejak 2000 hingga 31 Jan tahun ini, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail

Seramai 1,589 banduan dihukum mati sejak 2000 hingga 31 Jan lalu atas kesalahan berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana mengedar dadah.
PETALING JAYA:
Seramai 194 orang atau 8.26% daripada 2,350 banduan yang dijatuhi hukuman mati sejak 2000 hingga 31 Jan tahun ini, diberikan pengampunan diraja dan kerajaan negeri atau dipertimbang bagi hukuman lebih ringan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seramai 1,589 (67.62%) banduan dihukum mati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (pengedaran dadah), diikuti kesalahan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh) seramai 690 orang (29.3%).

Selain itu, seramai 31 banduan (1.32%) dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan mengikut Seksyen 3 dan 7 Akta Senjata Api (melepaskan tembakan bawah kesalahan berjadual dan berdagang senjata api), katanya.

“Manakala, 13 orang banduan (0.55%) melakukan kesalahan bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (berperang dengan Yang di-Pertuan Agong),” katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Teresa Kok (PH-Seputeh).

Kok meminta menteri menyatakan senarai kategori kesalahan bagi banduan dijatuhi hukuman mati sejak 2000 serta jumlah yang menerima pengampunan diraja atau kerajaan negeri.

Saifuddin menambah, rekod Jabatan Penjara menunjukkan seramai 19 (0.81%) dan tiga orang (0.13%) banduan masing-masing disabitkan bawah Seksyen 3 Akta Culik dan Seksyen 396 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan dan pembunuhan).

“Manakala, seramai lima banduan (0.21%) bawah seksyen 57(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.