Remaja Bangladesh terperangkap dalam kontena dihantar pulang

Remaja Bangladesh terperangkap dalam kontena dihantar pulang

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata remaja itu dihantar pulang ke negara asalnya melalui penerbangan ke Dhaka.

Remaja itu MD Ratul Islam Fahim dihantar pulang ke Bangladesh menaiki penerbangan ke Dhaka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang remaja lelaki Bangladesh yang ditemui di dalam sebuah kontena di dermaga Westport, Pelabuhan Klang pada 17 Jan, dihantar pulang ke negara asalnya hari ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata remaja itu, MD Ratul Islam Fahim, dibawa pulang ke negara asalnya melalui penerbangan ke Dhaka malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, diiringi pegawai Kedutaan Bangladesh di Kuala Lumpur.

Dalam sidang media, Saifuddin berkata remaja 16 tahun itu, terperangkap secara tidak sengaja dalam kontena tersebut semasa kapal berlabuh di Bangladesh.

“Ketika ditemui remaja itu terlalu lemah dan terus diberikan perlindungan kesihatan atas dasar kemanusiaan, biarpun tiada sebarang dokumen padanya,” katanya remaja itu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan diletakkan di bawah jagaan Yayasan Chow Kit mulai 26 Jan.

Dalam isu berasingan, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dengan terperinci, dokumen berkaitan pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), sebelum mengambil apa-apa tindakan.

Menurutnya, beliau diberikan taklimat ringkas baru-baru ini mengenai projek NIISe berkenaan, yang kontraknya diraih oleh syarikat teknologi Iris Corporation Bhd yang didakwa mempunyai kaitan dengan menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Saifuddin berkata taklimat berkenaan ialah untuk mengetahui apakah ‘corporate exercise’ terlibat mematuhi terma dalam kontrak yang telah ditandatangani, antara subsidiari Iris dengan kerajaan.

Pada 10 Feb, Iris Corp memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Tass Tech Technologies Sdn Bhd (Tass Tech), membabitkan pelupusan 80% kepentingan ekuiti dalam unitnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) pada tunai RM70 juta.

IITS merupakan pemaju NIISe yang dikatakan bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMS), yang diguna pakai oleh Jabatan Imigresen sejak 13 tahun lalu.

Berita mengenai pelupusan kepentingan ekuiti itu timbul sehari selepas Muhyiddin menafikan bahawa beliau terbabit dalam pemberian kontrak NIISe kepada kepada Iris Corp.

Ditanya sama ada isu berkenaan memerlukan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya buat masa ini beliau masih memerlukan waktu untuk menelitinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.