Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 3.4%

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 3.4%

Jumlah kemasukan pesakit kategori 1 dan 2 ke hospital awam kekal pada 0.4%, manakala untuk kategori 3, 4, dan 5 menurun sebanyak 20% pada ME 7, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 menurun sebanyak 1% pada ME 7 berbanding ME 6, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
PETALING JAYA:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk di negara ini meningkat sebanyak 3.4% pada minggu epidemiologi ketujuh (ME 7), yang bermula dari 12 Feb hingga 18 Feb, berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam kekal pada 0.4%, manakala untuk kategori tiga, empat, dan lima menurun sebanyak 20%.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 menurun sebanyak 1% pada ME 7 berbanding ME 6, manakala peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pula tiada perubahan, kekal pada 2%.

“Jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan tiada perubahan, kekal pada 0.2% setakat ME 7,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, katanya, bilangan kedatangan pesakit ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara meningkat sebanyak 9.6% pada ME 7, namun bilangan kes dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 39.1%.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 13.2%,” tambahnya.

Beliau berkata, sebanyak 1,784 kes sembuh dicatatkan pada ME 7, berbanding 2,071 kes pada minggu sebelumnya, manakala kes baharu dicatatkan sebanyak 1,495 berbanding 1,542 kes dalam tempoh sama.

Bilangan kes kematian dalam tempoh berkenaan turut menurun sebanyak 50%, iaitu dari lapan kes kepada empat kes.

“Purata nilai RT pada ME 7 adalah 0.97,” katanya.

Setakat ME 7, jumlah kumulatif kes Covid-19 adalah sebanyak 5,040,821, dengan purata kes aktif sebanyak 8,980.

Jumlah kumulatif kes sembuh pula adalah sebanyak 4,994,944, dan kematian sebanyak 36,955 kes.

Sebanyak 7,171 kluster dilaporkan secara kumulatif, dengan empat masih aktif setakat 18 Feb, kata Noor Hisham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.